Salam dan Hai semua 🙋
Ayam Brand Meneruskan Komitmen Malaysia Lebih Sihat Menerusi Penganjuran Kempen Komuniti Penyayang Tahunan Ke-17
Kempen tahun ini memberi tumpuan kepada pemakanan sihat dan kecergasan fizikal
Ayam Brand™ satu jenama terkenal selama 132 tahun yang dikenali dengan pilihan meluas makanan dalam tin berkualiti tinggi dan mudah serta tanpa bahan pengawet dan tambahan MSG, serta merupakan pemegang sijil Halal komited dalam meneruskan Kempen Komuniti Penyayang 2024. Inisiatif yang bertujuan untuk memberikan manfaat berterusan kepada masyarakat yang telah diperkenalkan sejak tahun 2008.
Bertemakan #AyamBersamaMu Sihat & Cergas, kempen tahun ini bermatlamat untuk menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan kanak-kanak di seluruh Malaysia. Memasuki tahun ke-17 penganjurannya, kempen Ayam Brand ini telah memanfaatkan lebih 28,350 individu daripada 635 organisasi bukan kerajaan (NGO) dengan membabitkan penyediaan lebih 2.2 juta hidangan berkhasiat.
Kempen tahun ini akan memberi tumpuan dalam membentuk tabiat pengambilan makanan yang berkhasiat yang mengandungi Omega-3 agar kanak-kanak lebih sihat. Selain itu, fokus juga diberikan dalam mempromosikan gaya hidup aktif dalam kehidupan anak-anak ini agar dapat melahirkan generasi rakyat Malaysia yang lebih cerdas.
Di Pulau Pinang, kempen ini dijangka akan memberi manfaat kepada 81 kanak-kanak daripada 4 NGO dengan menyediakan mereka 14,580 hidangan berkhasiat yang juga enak.
Di Pulau Pinang, penerima manfaat kempen ini adalah Wisma Yatim Lelaki Islam Pulau Pinang, The Salvation Army Penang Children's Home, Penang Shan Childrens Home Association dan Crystal Family Home.
Menerusi kerjasama Focus Point Group serta pakar-pakar pemakanan dan kecergasan, Ayam Brand™ akan mengadakan bengkel pemakanan sihat bagi membimbing kanak-kanak mengenai pilihan makanan yang lebih berkhasiat berdasarkan konsep 3S (Suku-suku Separuh) Pinggan Sihat Malaysia, serta rutin senaman yang boleh dilakukan kanak-kanak di rumah serta cabaran kecergasan untuk menggalakkan mereka kekal aktif.
Menurut Cik Teoh Wei Ling, Ketua Pemasaran A. Clouet (Malaysia) Sdn Bhd, Ayam Brand™ percaya bahawa semua pihak layak mendapat akses terhadap makanan berkhasiat dan diberi peluang untuk menjalani kehidupan yang sihat.
“Menerusi program keprihatinan komuniti tahunan ini, kami berhasrat untuk memperkasakan individu dan komuniti untuk membuat perubahan positif kepada kesihatan dan kesejahteraan diri mereka,” katanya.
Berdasarkan data daripada Kementerian Kesihatan1 Malaysia menunjukkan bahawa pengambilan asid berlemak Omega-3 dalam kalangan rakyat Malaysia pada masa ini adalah rendah dan terdapat tiga cara untuk menangani isu ini iaitu peningkatan pengambilan bijirin seperti kekacang; tauhu dan ikan, menggunakan minyak masak yang mengandungi Omega-3 serta mengambil makanan yang kaya dengan Omega-3.
“Omega-3 adalah amat penting untuk kesihatan jantung, otak, saraf, kulit dan mata. Sepanjang kempen ini, kami menyediakan produk yang mempunyai kandungan Omega-3 dengan matlamat untuk menyediakan satu khasiat utama bagi kanak-kanak terlibat. Bagi tahun 2024, kami juga mengintegrasikan kecergasan dalam kempen yang dianjurkan agar menggalakkan gaya hidup sihat yang berterusan.”
“Pada masa ini, Malaysia menunjukkan peningkatan pertumbuhan yang terbantut dan kadar obesiti dalam kalangan kanak-kanak. Sehubungan itu, kami ingin mengambil pendekatan proaktif untuk mempromosikan gaya hidup yang sihat dan program kecergasan ke dalam kempen yang dianjurkan. Menyedari bahawa negara masih berhadapan dengan cabaran obesiti, kita perlu memulakan langkah untuk menangani isu tersebut,” tambah Teoh.
Laporan berita2 baru-baru ini menunjukkan kesedaran kesihatan dalam kalangan rakyat Malaysia masih lagi rendah. Negara ini mempunyai bilangan kes tertinggi diabetes dan obesiti di rantau Asia Tenggara. Kementerian Kesihatan Malaysia telah mendedahkan bahawa satu dalam setiap tiga kanak-kanak di sekolah3 mengalami masalah lebihan berat badan atau obes.
Ayam Brand™ juga bekerjasama dengan Focus Point Group bagi memastikan kesihatan mata kanak-kanak dalam keadaan baik. Bagi kanak-kanak yang memerlukan kaca mata akan menerima tajaan Ayam Brand bagi membantu penglihatan mereka.
“Kami meneruskan usaha penjagaan kesihatan mata kanak-kanak bagi kempen tahun ini kerana analisis global4 melaporkan penglihatan kanak-kanak masa ini kian merosot dengan satu dalam tiga daripada mereka rabun atau tidak mampu melihat objek jauh dengan jelas. Laporan tersebut turut menyebut bahawa kadar tertinggi isu ini adalah di Asia. Sehubungan itu, Ayam Brand ingin membantu kanak-kanak yang terjejas agar mereka dapat melihat dengan lebih baik,” Teoh menghurai lanjut.
Kanak-kanak belajar tentang membuat pilihan diet yang lebih sihat melalui sesi yang informatif dan menarik bersama Encik Victor Chao, seorang pakar pemakanan dan kecergasan mengenai Pinggan Sihat Malaysia, yang memperkenalkan kepentingan Omega-3 untuk kesihatan mata mereka.
“Pengambilan makanan berkhasiat adalah penting bagi kesejahteraan menyeluruh kanak-kanak, khasnya pengambilan protein untuk pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak. Antara sumber protein yang baik adalah ikan berlemak seperti tuna, saba, sardin dan mackerel yang mengandungi sumber Omega-3 yang baik, yang penting untuk perkembangan otak dan kesihatan mata kanak-kanak. Memandangkan tubuh tidak boleh menghasilkan Omega-3, kita perlu mendapatkannya daripada sumber makanan. Setiap individu perlu mempertimbangkan untuk mengambil sekurang-kurangnya 2 hidangan ikan berlemak setiap minggu," kata Victor.
Mengenai Ayam Brand™
📎Ayam Brand™, adalah satu jenama warisan Tanah Melayu terkemuka di Malaysia dan Asia selama 132 tahun yang dikenali untuk pilihan meluas makanan dalam tin berkualiti tinggi dan sihat yang bebas daripada bahan awet serta tidak mengandungi MSG tambahan.
📎Produk-produk Ayam Brand™ dihasilkan di kemudahan-kemudahan berteknologi terkini yang memenuhi standard antarabangsa tertinggi dan menerima pensijilan yang diiktiraf antarabangsa (HACCP, ISO 9001).
📎Rangkaian produk Ayam Brand™ juga telah menerima pensijilan Halal. Ayam Brand™ telah disenaraikan dalam senarai putih Jakim sebagai Jenama Makanan Halal Yang Diyakini.
📎Ayam Brand™ telah disenaraikan sebagai antara 10 Jenama Pilihan FMCG Malaysia, menurut Kajian Jejak Jenama Asia 2023 oleh Kantar Worldpanel.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Kempen Komuniti Penyayang #AyamBersamaMu, sila layari laman https://www.ayambrand.com.my atau https://www.facebook.com/ayambrandmalaysia
0 Comments